Video oleh HAKIMI ISMAIL

Sejurus keberangkatan tiba ba­ginda, lagu Negaraku dimainkan dengan disertai 21 das tembakan meriam kehormatan yang disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai oleh Mejar Mohd. Asri Che Wil.

Istiadat perbarisan dimulakan dengan perarakan masuk panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan panji-panji rejimen daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) oleh Kawalan Kehormatan Utama.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Selain itu, turut hadir Tim­balan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Menteri Kewangan, Lim Guang Eng; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Istiadat perbarisan dijayakan oleh gabungan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada enam detasmen dengan kekuatan sebanyak 46 pe­gawai dan 823 anggota lain-lain pangkat.

Upacara diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir dengan Jalur Gemilang diturunkan sebagai simbolik untuk mengenang mereka yang telah terkorban demi mempertahankan negara.

Hadirin turut dipersembahkan dengan deklamasi sajak berjudul Pahlawan oleh Leftenan Farahanina Ismail dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Asisten Superintenden, Rahimi Hamzah dari PDRM.

Sambutan diteruskan dengan persembahan pantomim Operasi Iblis 1971 oleh enam pegawai dan 98 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Leftenan Kolonel Mohd. Khairulnizam Suliman.

Operasi Iblis 1971 dilancarkan oleh Markas Bridged Kedua Infantri Malaysia pada 1971, operasi ini dilancarkan berikutan terjum­panya kesan yang menunjukkan kehadiran pengganas di Hutan Korbu, Sungai Siput dan Tanah Hitam, Perak.

Pantomim itu mengisahkan kumpulan yang diketuai Kapten V. Mohana Chandran, meskipun beliau gugur dalam misi itu namun, usahanya menjadi langkah pertama dalam kejayaan mengusir komunis daripada terus berkembang di Perak.

Selain Mohana Chandran yang gugur dalam misi tersebut, dua anggota turut mengalami kecede­raan iaitu Abang Bolhi Abang Do­ladi yang ditembak di dada dan tangan serta Bajau Ladi yang di­tembak di paha.

Sambutan Hari Pahlawan adalah acara tahunan di peringkat ke­bangsaan dan sejak 1968, acara ini telah dianjurkan secara bergilir-gilir antara ATM dan PDRM. Untuk tahun ini ATM merupakan penganjur.