Hans berkata, dia sukar melupakan perkara yang berlaku kerana telah memberikan seratus peratus komitmen terhadap hubungan tersebut.

“Sakit itu ada lagi. Saya kecewa kerana setelah saya membuka pintu hati untuk serius dalam hubungan tetapi perkara tersebut tidak menjadi.

“Saya terpaksa memutuskan hubungan kerana pihak sana tidak memberi seratus peratus komitmen seperti yang telah saya berikan,” ujarnya ketika ditemui dalam majlis sidang akhbar Lawak Ke Der 2018 di Istana Budaya di sini hari ini.

Menurut Hans, peristiwa tersebut juga menyebabkan dia belum bersedia untuk menerima kehadiran wanita lain dalam hidupnya buat masa ini.

Bagaimanapun, pelakon filem Cinta Luar Biasa ini menambah, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkawan dengan wanita lain tetapi tidak bersedia untuk bercinta lagi.

“Mungkin saya memerlukan masa selama tiga tahun untuk memulihkan hati. Saya juga sukar untuk membina hubungan yang serius selepas ini,” ujarnya.

Pada 28 Februari tahun lalu, Hans mengumumkan pertunangannya dengan seorang model, Gabriella Robinson dan merancang untuk berkahwin pada 29 Julai 2017 namun perancangan tersebut telah ditunda dan akhirnya dia mengesahkan pertunangannya sudah terputus.

Hans bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai punca sebenar kisah putus tunang tersebut berlaku. - UTUSAN ONLINE.