Video oleh AZMAN IBRAHIM

Paling menyedihkan, Sahara atau nama penuhnya Zaharah Mohd Yaacob, 61, mendakwa persatuan-persatuan tersebut mengamalkan dasar pilih kasih dan mengambil kesempatan dalam menyalurkan bantuan.

Sahara yang pernah mendapat jolokan Tina Turner Malaysia mendakwa, sebilangan persatuan-persatuan artis juga menjadikan sebahagian artis-artis veteran sebagai batu loncatan untuk memperoleh geran atau dana kerajaan tanpa menyumbang apa-apa kepada ahli-ahlinya.

“Saya tidak ada apa-apa, satu sen pun tidak ada dalam handbag (beg tangan). Nampak saja saya macam bergaya. Mekap orang bagi, baju orang bagi, kasut orang bagi, tudung pun orang bagi. Apa ada bantuan daripada persatuan?

“Persatuan yang menghina kita (artis), bukan orang lain. Sahara Yaacob menyanyi 40 tahun dibuat macam ‘sampah’, satu pun persatuan tidak mahu tolong melainkan RM300, itu pun susah nak bagi,” katanya sambil menitiskan air mata.

Yang turut hadir pada sidang akhbar itu ialah artis-artis terkenal seperti Hail Amir, Ramlah Ram, Herman Tino, Bagio (Damasutra), Rem, Halil Chik, komposer Azman Abu Hassan dan ramai lagi.

Tambah Sahara, kesempitan yang dilaluinya tambah berganda apabila banyak pihak meminta dia menyanyi secara percuma termasuk persatuan-persatuan artis yang turut mengambil kesempatan yang sama.

Sahara yang pernah popular dengan lagu Peronda Jaket Biru berkata, perbuatan sedemikian membuatkan dia sering berada dalam dilema lantaran tiada punca pendapatan tetap.

“Baru-baru ini, ada persatuan minta saya nyanyi percuma. Mereka tidak tahu saya ni makan mi segera dekat rumah, lagi nak suruh saya nyanyi percuma. Saya nak pergi buat persembahan dengan apa? Awak minta saya pergi nyanyi percuma, saya nak pergi dengan apa? Jalan kaki?” soalnya dalam keadaan penuh emosi.

Sehubungan itu, kata Sahara, dia dan rakan-rakan senasib cuba bergantung harap kepada Pekira untuk membela dan memperjuangkan insan seni sepertinya.

“Saya tidak mahu jadi hamba seni. 40 tahun menyanyi, cukuplah. Sekarang saya mahu jadi master seni di bawah Pekira,” ujarnya dengan penuh harapan. -UTUSAN ONLINE