Video oleh SYEFRY MONIZ MOHD. NIZAR

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini pertukaran telah pun dilakukan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang melibatkan anggota di peringkat bawahan.

Menurut beliau, pertukaran di jabatan berkenaan melibatkan tidak kurang daripada 20 anggota.

“Pertukaran di bahagian narkotik ini sudah pun bermula melibatkan anggota di peringkat bawahan dan ada sedikit lagi pertukaran akan dibuat. Setakat ini, ia membabitkan tidak kurang daripada 20 anggota.

“Bagaimanapun, suka saya nyatakan bahawa dalam tempoh terdekat ini, PDRM akan membuat rombakan di peringkat atasan, mungkin selepas raya,” katanya ketika ditemui selepas Program Nur Ramadan Singgah Sahur Warga PDRM Perak bersama Ketua Polis Negara di Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.

Mengulas lanjut Khalid berkata, pertukaran melibatkan jabatan di PDRM adalah perkara biasa dan hanya sesekali pertukaran luar bia­sa dilakukan.

“Sebenarnya pertukaran dan perubahan dalam jabatan polis adalah perkara biasa tetapi sesekali ada juga yang luar biasa.

“Bagaimanapun, bagi bahagian yang mustahak, rombakan telah pun dibuat dan selepas ini akan ada lagi pertukaran lain,” katanya.

Akhbar pada 20 Mei lalu mela­porkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengumumkan bahawa PDRM akan melakukan rombakan besar-besaran bagi mengekang masalah integriti agar tidak terus menular dalam kalangan pegawai dan anggotanya pada masa hadapan.

Langkah itu berikutan kenya­taan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan 'pembersihan' PDRM dilakukan ter­utamanya melibatkan jawatan dan jabatan yang dianggap sensitif.