Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sejumlah RM508,500 lagi diperuntukkan sebagai imbuhan kepada 1,017 bilal dengan RM500 setiap seorang akan dibayar secara one-off.

“Tahun ini juga buat pertama kali bayaran sekali gus turut di­salurkan kepada bilal,” katanya ketika berucap dalam Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Terengganu 2017 di sini hari ini.

Majlis penutupan disempur­na­­kan Pengerusi Jawatankuasa Ko­mu­nikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Gha­zali Taib yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang turut hadir Ketua Pe­ngarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir turut menasihatkan umat Islam supaya jangan mudah terpedaya dengan maklumat tidak sahih yang disebarkan menerusi media sosial bagi menimbulkan keraguan dan kesangsian terhadap Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).


Video oleh AZLAN BAHRUM

Menurutnya, terdapat kala­ngan yang cuba menghilangkan kepercayaan terhadap Tabung Haji dengan memberi gambaran kononnya badan yang memayu­ngi umat Islam itu sudah bankrap.

Beliau seterusnya menegaskan, Tabung Haji masih teguh dan mampu menerima pulangan perniagaan menguntungkan, malah terus berkeupayaan menanggung lebih RM9,000 kos mengerjakan haji bagi setiap jemaah.

“Sekarang kalau nak pergi haji, tambang saja sudah lebih RM18,500 seorang tapi kos yang dibayar oleh jemaah kekal RM9,980. Jadi, mana datangnya lebih RM9,000 kalau bukan daripada kerajaan melalui Tabung Haji.

“Maknanya kita ada kemampuan dari segi kredibiliti, integriti dalam mempertahankan Tabung Haji dan ini mencerminkan kehebatan serta kemampuan pengurusan lembaga itu. Tapi mereka sebarkan ia sudah bankrap,” ujarnya.