Video oleh RAJA JAAFAR ALI

Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan Pusat menyumbang sebanyak RM3 juta seperti dipohon oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pagoh di Padang Awam Felda Maokil dekat sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, tidak ada masalah untuk memberi sumbangan tersebut demi kemajuan dan pembangunan masyarakat Felda dan sentiasa membantu mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled mengumumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta untuk tujuan berkenaan.

“Kita percaya, peruntukan dan bantuan seperti ini sangat membantu program latihan kemahiran yang kita bangunkan untuk ge­nerasi muda Felda di Johor.

“Kemahiran yang bersifat terkini dan membolehkan mereka pergi lebih jauh dalam hidup mereka agar mampu untuk meneroka lebih banyak ruang dan peluang ekonomi lain, bukan sahaja di dalam kawasan Felda, malah di seluruh Johor dan di seluruh negara,” katanya.

Menteri Besar berkata, aspek penjanaan kekayaan dan pembangunan kapasiti adalah perubahan paradigma paling kritikal untuk kelangsungan Felda dan kerajaan negeri menerusi Digital Johor akan membantu tanah rancangan itu merealisasikan usaha membawa kepantasan jalur lebar ke seluruh kawasan Felda di sini.

“Kita akan memastikan tidak ada kawasan Felda di Johor yang akan tersasar daripada digital super highway Johor. Felda dan warganya mesti mempunyai ke­terhubungan atau connectivity kurun ke-21.

“Perkara ini adalah modal terpenting untuk kemandirian dan kemajuan Felda dan lingkungannya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan ne­geri mahu bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk melahirkan 5,000 milineal Felda dalam bidang pertanian moden bagi masa lima tahun akan datang.

Menurutnya, kerajaan ne­geri mahu supaya mereka menjadi usahawan tani dan mengusahakan pertanian untuk masa depan mereka yang lebih baik dan berteknologi.

“Kita percaya bahawa generasi pewaris Felda mesti meneruskan tradisi berbakti kepada tanah, tetapi diupayakan dengan kemahiran baharu dan teknologi,” katanya.