Video oleh SHIDDIEQIIN ZON

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bayaran khas sebanyak RM1,500 setiap seorang itu adalah kali pertama dalam sejarah dan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 yang lalu.

Beliau berkata, Najib sangat mengiktiraf sumbangan terutama imam, bilal dan siak walaupun mereka berada di bawah pentadbiran majlis agama Islam negeri-negeri.

“Kerajaan Persekutuan mengambil tanggungjawab memberi pengiktirafan kerana sedar golongan ini memainkan peranan besar dalam meneruskan agenda memartabatkan syiar dan syariat Islam.

“Masjid perlu menjadi pusat penyatuan Islam dan seluruh komponen masjid seperti imam, bilal dan siak adalah agen penyatuan, kita boleh berbeza pegangan politik tetapi apabila melibatkan kepentingan umat Islam kita wajib bersatu.

“Penyatuan kita bermula di masjid kerana itu pusat akar umbi berhimpun sekurang-kurangnya sekali seminggu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bayaran Khas ‘One Off’ kepada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA negeri Kelantan 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahaya Mamat.

Pembayaran ‘one off’ tersebut dijalankan sebanyak dua kali iaitu RM1,000 pada awal tahun dan baki RM500 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri. - UTUSAN ONLINE