Jadi tidak hairanlah apabila di mana-mana sahaja termasuklah kedai kopi, pasar atau pekan sehari ada sahaja suara rintihan peneroka kedengaran yang mungkin tidak dapat dibendung.

Seorang penerokawati, Habibah Hamid, 75, berkata, bebanan kos sara hidup akibat kejatuhan harga kelapa sawit yang berlarutan dan tiada kesusahan begitu meresahkan mereka.

Beliau yang berasal dari Felda Sungai Koyan 1 berkata, keresahan mereka bertambah apabila bayaran hasil jualan kelapa sawit juga sering tertunggak.

"Masa menteri Najib dahulu makcik berasa lega, menteri ini (Pakatan Harapan) rasa serabut. Dapat RM300 itu api air lagi makan lagi, tengoklah dua bulan dapat RM900 sahaja ada jiran yang dapat RM70 sebulan hendak makan apa?

"Sungguh pun buah tidak ada pun kalau harga mahal itu tahan, ini harga murah, buah pun tidak ada, sekarang entah macam ma­na tak tahu, mujur makcik tidak ada anak sekolah lagi," katanya ketika berbual dengan beberapa pemuda di sebuah kedai makan di sini, hari ini.

Menurut Habibah selain harga sawit terus jatuh, ketiadaan bantuan lain seperti bayaran faedah tahunan yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini membebankan lagi peneroka.

Dalam pada itu, seorang peneroka Felda Sungai Koyan 2, Ismail Ali berkata, peneroka Felda pada masa ini berasa seolah-olah dipinggirkan kerana tiada sebarang inisiatif untuk membantu mereka yang sedang berhadapan bebanan hidup.

Beliau yang juga bekas ve­teran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, amat kecewa kerana kerajaan tidak memberikan perhatian kepada bekas-bekas veteran yang menjadi pene­roka di situ.

"Ada ramai veteran di sini tidak mempunyai pencen dan tertekan kerana mengharapkan kepada hasil sawit yang tidak mencukupi. Kami bukannya malas tetapi dengan usia me­ningkat kami tidak dapat berbuat apa-apa kerja lain di luar," ujar­nya.