Apa yang membimbangkan, beberapa rumah plastik untuk kegunaan penanaman sayuran juga hampir ‘menyembah bumi’ ekoran tindakan mereka itu di samping tarahan di lereng bukit yang agak curam.

Malah tinjauan Mingguan Malaysia ke beberapa kawasan termasuk di Kampung Tiga berhampiran Pos Terisu dan Kampung Raja mendapati, pekebun semakin tamak serta degil selepas kawasan tersebut hampir keseluruhannya menjadi kebun tanpa ada keindahan flora.

Kini persoalan demi persoalan timbul bagaimana aktiviti tersebut dapat dilakukan tanpa sebarang kawalan termasuk di kawasan berhampiran kejadian tanah runtuh yang meragut tiga nyawa baru-baru ini.

Mingguan Malaysia difahamkan, penerokaan tanah di Came­ron Highlands kini semakin parah dan berada di tahap membimbangkan walaupun pelbagai operasi termasuk Ops Gading dilaksanakan sebelum ini.

Menurut sumber, pencerobohan tanah ini berlaku disebabkan gejala rasuah yang semakin membimbangkan dalam kala­ngan anggota agensi berkaitan di kawasan pelancongan itu.

“Untuk memohon tanah bukannya mudah dan perlu mendapatkan surat kelulusan daripada banyak agensi. Akan tetapi agak menghairankan bagaimana kebun-kebun ini mendapat permit menjalankan aktiviti penanaman di lereng-lereng bukit yang begitu cerun? Adakah ia dibenarkan?

“Selain itu, apa yang menjadi persoalan, jika mereka mendapat kebenaran serta mempu­nyai permit sekali pun, adakah keluasannya sama seperti yang dipohon? Mereka tebang dan teroka tanah sesuka hati sahaja. Ini yang membimbangkan kita kerana boleh beri ancaman kepada kawasan pelancongan ini nanti,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut sumber berkenaan, ada juga pemilik kebun terdiri daripada kala­ngan warga asing terutama warga Bangladesh yang menyewa daripada pemilik sebelum ini.

“Ini berlaku dan ada yang sudah kaya sehingga mampu memakai kenderaan mewah. Gelagat mereka kadangkala biadab seolah-olah mencabar orang tempatan dan mencabar anggota penguatkuasa lain.

“Mereka mungkin menyewa tanah tersebut. Tetapi apakah yang melayakkan mereka untuk berbuat demikian?” soalnya.