Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pokok ketum mempunyai khasiat perubatan yang tinggi seperti mana hasil kajian lebih 20 pensyarah daripada Universiti Sains Malaysia (USM), malah kehebatannya diakui negara-negara maju.


Katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, ketum turut mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dengan beberapa buah negara telah memperoleh manfaat daripada potensinya.


“Sebagai contoh, Kalimantan kini memperoleh pendapatan sebanyak RM10 juta sebulan hasil pengeksportan daun ketum ke negara Eropah.


“Jika kerajaan benarkan penanaman ketum secara terkawal, RISDA yakin dapat membantu pekebun kecil memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan sekali gus menjimatkan wang agensi itu sebanyak RM130 juta untuk membantu golongan berkenaan ketika harga getah jatuh,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sumbangan Bantuan Kembali Ke Sekolah 2018 kepada seramai 800 penerima melibatkan anak-anak pekebun kecil dan ladang-ladang berdaftar di bawah RISDA di Tapak Pasar Sehari Beseri di sini hari ini.


Menurut beliau, kawasan utara Perak sehingga negeri ini mampu menghasilkan daun ketum yang terbaik berbanding di negara-negara lain.


Katanya, pihaknya juga bersedia menyumbang kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang selama ini berhadapan dengan masalah peruntukan untuk menjalankan program pemulihan dan pencegahan dadah. - UTUSAN ONLINE