Persepsi agenda pembangunan negara adalah urusan kerajaan semata-mata perlu diubah untuk memastikan rakyat mampu bangun dengan mahu menyumbang sesuatu untuk negara.

Ujar Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad, sekiranya perkara tersebut dipandang ringan, nilai insaniah dalam kalangan masyarakat boleh terhakis dan permasalahan ini perlu diatasi.

“Tidak dinafikan Malaysia sedang melalui fasa peningkatan ekonomi dan kesejateraan awam namun pada sudut budaya dan nilai-nilai kemasyarakatan, kita masih jauh lagi ketinggalan.

“Sehubungan itu, perkara ini menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan nilai murni dalam diri rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan semula,” katanya dalam Forum Nasional MPM-Utusan : Malaysia Dalam Peta Indeks Kemakmuran Global, di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Dalam pada itu, MPM turut mengenal pasti beberapa isu yang perlu diberi perhatian dalam meningkatkan tahap kemakmuran supaya seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara yang pesat.

“Kita perlu mengejar pertumbuhan ekonomi dan kita tercicir tentang kemakmuran hidup bermasyarakat. Rakyat seharusnya membangunkan semangat kejiranan dan kemasyarakatan," katanya. - UTUSAN ONLINE