Arwah yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman, menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isteri, Datin Seri Sabaniah Ahmad Sabri, 56, dan tiga anaknya, Raja Ahmad Zhafir, 28; Raja Nur Dzafirah, 23, dan Raja Nur Dzhoriifah, 20, serta ahli keluarga terdekat.

Jenazah beliau yang disembahyangkan sejurus selepas solat Jumaat di Surau Syed Muhammad Jamalullail, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Bendahara di sini petang ini.

Anak bongsunya, Raja Nur Dzoriifah, 20, berkata, arwah mula mengadu sakit perut dan demam pada Isnin lalu ketika bersahur sebelum ditahan di wad di hospital berkenaan, kelmarin.

Namun katanya, selepas arwah tidak sedarkan diri kira-kira pukul 5 petang semalam, doktor telah mengisytiharkan beberapa organ dalamannya tidak berfungsi.

“Pukul 2.30 pagi tadi, kami menerima panggilan daripada doktor yang me­minta untuk melawatnya kerana dikatakan keadaan ayah semakin kritikal.

“Sebelum ini, memang tiada rasa pelik mahupun sebarang tanda-tanda ayah akan meninggalkan kami kerana kami menjangkakan dia akan sembuh,” kata­nya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seri Ampang B di sini.

Selain Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, dua bekas Menteri Besar Perak iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali serta beberapa wakil rakyat lain turut hadir menziarahi keluarga arwah.

Dalam pada itu, Raja Nur Dzoriifah berkata, arwah sempat berbuka puasa dan membeli barang persiapan raya dengan anak-anaknya di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

“Orang luar yang mengenalinya mungkin akan mengatakan dia seorang yang tegas tetapi dengan kami, dia seorang yang mesra dan sentiasa gembira selain suka menyakat anak-anaknya,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, sebagai rakan politik, arwah merupakan antara yang cukup komited untuk memastikan pentadbiran negeri berada dalam keadaan baik selain merupakan tokoh pembicara melibatkan soal kepemimpinan bola sepak negara dan Perak.

“Mungkin ramai yang tidak mengetahui, beliau juga berbakat besar dalam bidang penulisan kerana bukan sahaja menulis dalam surat khabar tetapi juga menghasilkan novel,” katanya.


Video oleh SYEFRI MONIZ