Video Oleh SAHARUDDIN ABDULLAH

Naib Presiden PKR itu bagaima­napun masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan dan buat masa ini, kedudukannya selaku Ahli Parlimen Pandan adalah kekal.

Menurut Perkara 48(1)(e) Per­lembagaan Persekutuan, se­se­orang Ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika be­liau dijatuhi hukuman penjara lebih dari setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.

Mohd. Rafizi yang gemar mencetuskan kontroversi itu dijatuhi hukuman tersebut didapati bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), National Meat & Livestock Sdn. Bhd. dan Agroscience Industries Sdn. Bhd., enam tahun lalu.

Selain Mohd. Rafizi, Hakim Zamri A. Bakar turut menjatuhkan hukuman serupa terhadap bekas kerani sebuah bank, Johari Mohamad, 47, yang bersubahat dengan Ahli Parlimen Pandan itu dalam mendedahkan akaun berkenaan.

“Mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes,” kata Zamri yang kemudian turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh sehingga rayuan selesai dengan syarat jumlah jaminan RM15,000 seorang dikekalkan.

Mohd. Rafizi, 41, didapati bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan akaun bank Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Peta­ling Jaya, pada 7 Mac 2012 dan dibicarakan mengikut Seksyen 97(1) BAFIA dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali manakala Mohd. Rafizi diwakili peguam, Ahmad Nizam Hamid sementara Latheefa Koya pula mewakili Johari yang didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Mohd. Rafizi pada tarikh dan tempat yang sama.

Terdahulu, Lailawati memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM500,000 ke atas Mohd. Rafizi dan Johari kerana kesalahan mendedahkan maklumat perbankan adalah satu kesalahan serius.

“Ini merupakan kesalahan terancang kerana tertuduh pertama (Mohd. Rafizi) telah menyediakan empat muka surat siaran akhbar dan memanggil sidang akhbar untuk menerangkan maklumat itu.

“Ini menunjukkan beliau mempunyai masa untuk mempertimbangkan maklumat yang diterima dan maklumat yang diterima bukanlah secara tiba-tiba.

“Tertuduh kedua telah bekerja selama 13 tahun dan dengan pengalaman yang luas beliau sangat tahu tanggungjawab untuk merahsiakan maklumat yang diperoleh. Sehubungan itu saya memohon mahkamah memberi keutamaan kepada kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman yang setimpal,” katanya.

Namun, Ahmad Nizam dan Latheefa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guam masing-masing.

Sementara itu, Mohd. Rafizi ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, beliau lega ke­rana tidak dikenakan hukuman denda seperti yang dimohon pihak pendakwaan kerana mendakwa beliau tidak mampu membayarnya.

“Walaupun hukuman penjara selama dua tahun setengah itu berat tetapi saya bersyu­kur kerana tidak perlu ke penjara hari ini.

“Saya amat ya­kin kes ini akan diterima pada pro­ses rayuan di mahkamah nanti berdasarkan keputusan kes rayuan lain ke atas saya sebelum ini yang rata-ratanya diterima dan saya dilepaskan,” katanya.