Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

Menurut Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, sebagai sebuah pusat pendidikan yang turut merupakan sebuah tempat kerja, ia turut mempunyai risiko berlakunya musibah.

"Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para pengusaha untuk mengenal pasti dan mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mencegah kemalangan dan kematian," katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk Sekolah-sekolah Tahfiz (OSH for Tahfiz) di ibu pejabat NIOSH, di sini hari ini.

Program yang julung kali diadakan dengan kerjasama Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al Quran Selangor (Pinta Selangor) itu akan diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman dan Bendahari Kehormat Pinta Kebangsaan, Ustaz Mohd. Dailami Che Age yang juga Pengerusi Pinta Selangor.

Lam Thye berkata, program hari ini dibuat berpandukan program OSH in School yang dilaksanakan oleh NIOSH dengan kerjasama Kementerian Pendidikan sejak tahun 2015.

"Pelaksanaan OSH for Tahfiz merupakan konsep yang lebih menyeluruh kerana ia menganggap institusi tersebut sebagai sebuah tempat kerja dan tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994)," katanya.

Program yang berlangsung selama sehari ini mengandungi tiga modul iaitu keperluan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerja (KKP) di tempat kerja, penghapusan risiko kemalangan di sekolah, dan keselamatan kebakaran.

Selain seminar, NIOSH akan turut mengedarkan poster tentang keselamatan di sekolah-sekolah tahfiz, selain buku panduan keselamatan yang boleh menjadi rujukan kepada mereka yang terbabit.

Bagi menjayakan kempen keselamatan seluruh negara ini, NIOSH akan turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa tempatan dan Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia (MAFM). - UTUSAN ONLINE