Inisiatif yang julung kali dilancarkan itu bagi menangani gejala dadah, alkohol, isu perhubungan, pembaziran masa dan merokok atau ringkasnya DARTS itu akan membabitkan 500 pelajar universiti berkenaan yang bertindak sebagai pembimbing rakan sebaya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri K. Devamany yang melancarkan program tersebut berkata, DARTS bertujuan memberi penerangan dan pendedahan kepada para mahasiswa yang terlibat mengenai lima isu gejala sosial itu dalam usaha menyemai nilai-nilai murni kemanusiaan bagi mengelakkan mahasiswa daripada isu gejala sosial.

Sehubungan itu Devamany berkata, pihaknya memberi peruntukan sebanyak RM250,000 bagi menjayakan program tersebut sekali gus menghasilkan satu modul khas dalam melaksanakan program DARTS.

“Para mahasiswa yang terlibat pada seminar hari ini sendiri yang akan turun padang dalam menangani isu gejala sosial itu seperti membimbing rakan sebaya mereka yang terlibat dalam masalah tersebut.

“Buat masa ini, sebanyak 10 buah sekolah dijadikan sebagai anak angkat kepada UM dalam usaha memperluaskan program DARTS dalam kalangan murid sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Program hari ini turut membabitkan seminar dan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan panel adalah Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang, Ketua Pengarah Eksekutif Solace Sabah Addiction Retreat, Dr. Prem Kumar Shanmugam serta Institut Pengurusan Sumber Manusia, Lawrence Yap.

Seminar itu dihadiri oleh lebih 500 mahasiswa UM.

Program DARTS selain membabit Utusan Melayu melalui Utusan Online, turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan iaitu Angkatan Belia Islam (ABIM), Majlis Gereja, Buddhist Maha Vihara, Malaysia Hindu Sangam dan Majlis Gurdwara Malaysia serta Organisasi Antarabangsa Sathya Sai. - UTUSAN ONLINE