Projek usahasama Yayasan Uniti dan Koperasi Kolej Uniti itu adalah bagi membantu golongan kurang berkemampuan melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.


Video Oleh DIANA AZIS

Presiden Kumpulan Uniti Asia, Datuk Jamal Mohd. Amin berkata, projek amal yang diuruskan Yayasan Uniti itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan berkenaan.

“Projek yang dinamakan Tree for Future ini turut mendapat kerjasama Utusan Malaysia dan radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang digerakkan untuk mencari dana bagi membantu pelajar miskin seluruh negara.

“Aktiviti projek ini melibatkan penanaman pokok cili secara fertigasi dan hasil jualannya akan disumbangkan ke tabung yayasan tersebut untuk membiayai pelajar daripada keluarga miskin mendapat pendidikan sehingga ke peringkat universiti di bawah program 1K1G,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Projek Tree For Future oleh pakar motivasi, Prof. Datuk Dr. Muhaya Mohamad yang juga ikon bagi projek tersebut di Dewan Za’ba di kolej itu, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Penolong Ke­tua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Mengulas lanjut Jamal berkata, pihaknya turut bercadang menambah sebanyak 4,000 pokok hasil sumbangan orang ramai yang ingin menderma dengan kadar serendah RM10 setiap satu.

“Sebanyak 30 peratus daripada hasil cili akan digunakan untuk membiayai kos operasi termasuk membayar gaji pekerja manakala 70 peratus lagi akan disalurkan kepada Yayasan Uniti bagi program 1K1G.

“Bagi mereka yang menyumbang sebanyak RM10 bagi setiap pokok pula akan mendapat poto­ngan cukai pendapatan dan ia tidak hilang kerana akan diganti dengan pokok cili baharu setiap musim secara berterusan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, Tree for Future turut memberi manfaat kepada pelajar Kolej Uniti yang bekerja sambil belajar cara menanam cili menerusi kaedah fertigasi selain akan dibayar wang saku dan mendapat sijil.

Orang ramai yang ingin menyumbang bagi projek tersebut boleh menghubungi talian 06-6610522 untuk mendapatkan maklumat lanjut.