Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jumlah itu membabitkan kutipan kompaun sebanyak RM400 juta sekali gus membuktikan program tersebut berjaya mengurangkan jumlah PATI di negara ini.

Beliau berkata, Program 3+1 akan berakhir sepenuhnya pada 30 Ogos ini tanpa sebarang lanjutan justeru, PATI digesa mengambil peluang keemasan itu secepat mungkin bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Jabatan Imigresen memberi peluang kepada PATI untuk menyerah diri secara sukarela melalui program ini bagi mengelak mereka ditangkap dalam Ops Mega 3.0 yang sedang dijalankan secara besar-besaran ketika ini.

“Kita tidak akan melanjutkan lagi tempoh program ini, PATI yang tampil menyerah diri untuk dihantar pulang hanya dikenakan bayaran RM400 untuk pas khas serta denda,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mustafar, bagi memastikan kelancaran program berkenaan, pihaknya akan membuka kaunter penerimaan dan pemprosesan Program 3+1 pada cuti hujung minggu bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Bagi negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad, kaunter akan dibuka pada 4,5,11,12,18 dan 19 Ogos ini manakala bagi negeri yang cuti hujung minggunya pada Jumaat dan Sabtu kaunter akan dibuka pada 3,4,10,11,17 dan 18 Ogos ini.

“Jangan tunggu hingga saat akhir untuk serah diri. Kita sudah umum awal, jadi selesaikan awal. Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2018 pada 31 Ogos ini, kita mahu ‘memerdekakan’ Malaysia daripada PATI dan selepas ini operasi berterusan akan dijalankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE