Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, hasrat itu bakal tercapai melalui program Profesor Bersama Masyarakat dan [email protected] di mana mereka akan membantu memantau pendidikan pelajar sekali gus bersama-sama masyarakat Terengganu memperkasa taraf pendidikan di negeri itu.

“Saya percaya melalui kerjasama dan hubungan erat ini, taraf pendidikan di Terengganu yang sememangnya berada pada kedudukan terbaik negara mampu ditingkatkan lagi.

“Kerjasama ini juga akan meletakkan pendidikan negeri Terengganu di persada antarabangsa mengikut acuan kita sendiri. Oleh itu, saya yakin, sistem pendidikan negeri kini berada di landasan yang betul,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Program Profesor Bersama Masyarakat di perkarangan Masjid Tok Jembal, di sini hari ini.

Video oleh NUR ANIS FARHANAH ABD. MALEK

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose dan Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor.

Program tersebut bertujuan memberi peluang para ilmuan Malaysia berinteraksi dengan rakyat, termasuklah dengan para pelajar untuk bertemu dan bertukar-tukar fikiran.

Program itu turut menyaksikan sesi perbincangan Advokasi Ilmuwan MPN bertajuk Transformasi Kesejahteraan Ummah: Malaysia Model Terbaik? yang diadakan semalam dengan mengupas pelbagai isu termasuk isu pendidikan, ekonomi dan peluang kerjaya generasi muda masa kini.

Dalam pada itu, Raduan berkata, program [email protected] di Terengganu akan menumpukan ke 146 buah sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang melibatkan para profesor dari pelbagai universiti termasuk Universiti Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Program ini akan memperkasakan pelbagai bidang pendidikan di sekolah antaranya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik ( STEM) dan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Selain itu, program Profesor Bersama Masyarakat mungkin boleh memberi peluang kepada para ilmuan negara untuk merintis kajian kepada segala permasalahan yang dihadapi rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE