Laporan Twitter Pihak Berkuasa Wilayah Mekah (MRDA) mengesahkan sebanyak 330,000 jemaah telah dibawa dari Arafah ke Muzda­lifah membabitkan perge­rakan 126 tren sejak pukul 6.38 semalam sehingga 12 malam tadi.

Terdahulu, dalam pergerakan awal iaitu membawa ma­suk jemaah ke Arafah, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham berkata, pihaknya telah mencatat pergerakan tren 128 peratus, me­lebihi sasaran ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.

Tempoh 24 jam dari pukul 2 pagi 9 Zulhijah hingga 12 te­ngah malam tadi (waktu tempatan) sangat kritikal khusus­nya perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah kerana had masa singkat enam jam sahaja.

Bagi menjayakan operasi tersebut Prasarana menggerakkan sebanyak 15 tren yang masing-masing setiap satu mampu membawa 72,000 jemaah sejam, menggunakan kaedah pergerakan tren konvoi metro yang menyaksikan enam tren bergerak serentak dari satu stesen ke stesen lain.

Meskipun stesen ‘diserbu’ jemaah pada satu masa, namun dengan sistem penyuraian dan pengagihan khalayak yang betul, ketidakselesaan jemaah berjaya dikurangkan dan operasi berjalan lancar.

Sebanyak empat peringkat halangan dibina bagi memperlahankan pergerakan jemaah ke kawasan platform, sekali gus membolehkan penyuraian dan pengagihan penum­pang di sepanjang 300 meter plaftorm tersebut dilakukan dengan berkesan.

Walaupun berlaku insiden jemaah pitam, namun kesiagaan pasukan kecemasan terbukti apabila semua kes berjaya ditangani dengan cepat oleh pasukan paramedik.

Bagi mengurangkan ketidakselesaan jemaah, petugas sukarela dilihat mengagihkan minuman dan makanan ringan kepada para jemaah. – UTUSAN