Bagaikan tidak masuk dek akal kerana pondok itu hanya berada dalam lingkungan jarak 50 meter dengan permukaan sungai.

Menurut Pengasas pondok itu, Mohd. Shamsuddin Dollah, 58, atau lebih dikenali sebagai Pok Teh, kedudukan pondok itu juga berada dalam pertemuan tiga penjuru anak sungai di daerah tersebut.

"Sewaktu pondok ini dibina pada November 2011, ramai yang menentang pembinaannya kerana terletak di pinggir sungai. Namun, saya bertekad ingin meneruskan pembinaan tersebut kerana merupakan amanah daripada guru saya.

"Ketika itu, pembinaan hanya bermula dengan sebuah madrasah dan dipacak sebuah khemah. Malah, kami hanya mempunyai seramai sembilan pelajar yang mengikuti pengajian agama di sini," katanya.

Pok Teh ditemui Utusan Online sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat oleh Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM) di sini, semalam.

Sumbangan zakat berjumlah RM5,000 serta barangan keperluan asas itu disampaikan oleh Pengurus Besar TM negeri, Azman Yusof.

Program yang diadakan bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat TM turut mendapat kerjasama daripada Hotel Royal Guest House dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).

Tambah Pok Teh, pondok itu kini mempunyai seramai 85 pelajar berumur antara 10 hingga 60 tahun.

"Kebanyakan pelajar di sini terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin dan anak yatim yang datang dari merata tempat seperti Johor Bahru, Kedah dan Kuala Lumpur.

"Pelajar yang mengikuti pengajian agama di sini juga belajar secara percuma dan sejak pondok ini terselamat daripada bencana tersebut, ramai pihak yang berminat datang dan melihat sendiri keadaan di sini.

"Sedangkan ketika itu, kesemua tempat di Dabong ditenggelamkan air dan hanya kawasan ini sahaja terselamat walaupun berada di tengah hutan belantara serta pinggir sungai," jelasnya. -UTUSAN ONLINE