Video oleh ZETI FARZANA ALPIKRI

Ketua Polis Daerah Peta­ling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, polis tidak pernah membuat andaian sama ada mereka bersalah atau tidak.

“Sofi juga dipanggil untuk memberi keterangan pada awalnya tetapi tindak tanduknya yang mencurigakan membuatkan polis melakukan ujian air kencing dan dia ditahan kerana positif ganja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, polis memberi tempoh 24 jam kepada dua individu yang didakwa oleh Fa­rid Kamil bertanggungjawab memasukkan dadah ke dalam minuman untuk tampil membantu siasatan.

Dua individu itu ialah bekas penyanyi daripada sebuah kumpulan R&B, Ahmad Tajuddin atau Taj dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Osh.

Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara di sini dua hari lalu pada pukul 11 malam selepas memberi keterangan berhubung laporan polis dibuat Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

Farid Kamil mendakwa tiga rakan artis memasukkan dadah ke dalam minuman tanpa pengetahuannya hingga menjadi punca dia bertindak ganas di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

Sementara itu, di Petaling Jaya, Sofi Jikan dibebaskan daripada tahanan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu selepas keterangannya diambil berhubung kes positif dadah jenis ganja.

Kes tersebut kini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Artis tersebut diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Ketika diajukan soalan mengenai hubungannya dengan Farid Kamil, Sofi menjawab ‘hanya Tuhan saja yang tahu.’

Pelakon yang popular dengan dialog ‘Wa Kasi Sengat’ dalam filem KL Gangster itu turut melahirkan rasa syukur dengan dugaan yang menimpanya.