Video oleh TOREK SULONG

Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Muhamad berkata, kelas PAK-21 yang pertama dinamakan Kelas Abad 21 Tan Bee Khiang OKB direalisasikan di SRJKC Kai Chih, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, kelas pembelajaran yang berasaskan pedagogi dan pembelajaran zaman moden itu bernilai RM18, 000 melibatkan penyediaan peralatan elektronik dan komunikasi, selain suasananya yang menarik dan menyeronokkan pelajar.

“Kita akan meninjau keperluan SRJKC lain untuk mendapat manfaat yang sama. Kita namakan mendiang Bee Khiang kerana dia adalah salah seorang anggota POKB yang banyak berbakti kepada masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran kelas tersebut yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Kelantan, Muhammad Zahari Othman dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Harun Yusof.

Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika ditemui berkata, langkah yang diambil POKB seharusnya menjadi contoh pihak lain yang berupaya membantu membangunkan pendidikan alaf baharu.

Katanya, pendidikan perlu dijadikan agenda bersama dalam membangunkan negara bangsa serta pewaris negara yang cemerlang dan gemilang.

“ Hasil pemerhatian saya mendapati kelas PAK-21 di SRJKC Kai Chih berjaya merangsang minat belajar dalam kalangan murid yang boleh dikembangkan ke sekolah-sekolah lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE