Video oleh MARHAINI KAMARUDDIN

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Antarabangsa Danang pada pukul 2.45 petang (3.45 petang waktu Malaysia) ini disambut oleh Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam, Phung Xuan Nha dan Duta Malaysia, M. Zamruni Khalid.

Najib kemudiannya terus ke hotel penginapannya di Sheraton Danang untuk taklimat bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, sebelum ke Pusat Persidangan Danang untuk kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Tran Dai Quang.

Beliau disertai Mustapa, Zamruni dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri J. Jayasiri.

Esok, Najib dijadual menghadiri Mesyuarat Kerjasama Amerika Syarikat-APEC selain mengadakan pertemuan dua hala dengan Papua New Guinea, Australia dan New Zealand.

Perdana Menteri juga akan menyertai dialog Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC, bermesyuarat dengan ketua-ketua anggota perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dan terlibat dengan sesi plenari Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

Jadual padat beliau esok turut merangkumi Dialog ABAC dengan Ketua-ketua APEC,  rundingan tidak rasmi APEC-ASEAN, sebelum menyertai ketua kerajaan 21 anggota pakatan ekonomi itu ke jamuan rasmi yang dihoskan oleh Presiden Vietnam selaku Pengerusi Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) ke-25. - UTUSAN ONLINE