Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, MyExpo yang dibina berhadapan dengan PICC itu mampu menampung sehingga 60,000 orang dalam satu masa serta dilengkapi pelbagai kemudahan berteknologi tinggi untuk pameran dan persidangan.

“MyExpo yang akan siap pembinaannya dan dibuka pada tahun 2021 kelak, tidak hanya me­ningkatkan jumlah pengunjung ke negara ini tetapi mencipta lebih banyak pekerjaan dan me­ngukuhkan pertumbuhan eko­no­­mi negara,” katanya ketika ber­ucap menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan MyExpo di Presint 5 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Pre­siden Perbadanan Putrajaya yang juga Pengerusi Putrajaya Leisures and Services Group Sdn. Bhd. (Pulse Group), Datuk Seri Hasim Ismail.

MyExpo yang pembinaan itu dilaksanakan oleh Pulse Group, syarikat milik penuh PPj turut dilengkapi dewan plenari, lapan dewan pameran, 12 dewan bankuasi, empat dewan seminar, dua dewan persidangan dan sembilan bilik mesyuarat.

Projek itu terbahagi kepada dua fasa dengan fasa pertamanya merangkumi pusat pameran lima tingkat serta bangunan 23 tingkat termasuk hotel bertaraf empat bintang manakala fasa seterus­nya merupakan hotel bertaraf lima bintang, kompleks beli-belah, taman tertutup dan pangsapuri.

Menurut Najib, MyExpo yang bakal menjadi pusat pameran dan konvensyen terbesar di negara ini menyasarkan pendapatan keseluruhan tahunan sebanyak RM500 juta dan mampu melonjakkan bukan sahaja nama Putrajaya tetapi juga Malaysia di mata dunia.

“Pusat konvensyen itu (MyExpo) sendiri sahaja memiliki keluasan lantai kasar 1.5 juta kaki persegi manakala MyExpo City akan meliputi empat juta kaki persegi, yang merangkumi taman dan hotel empat bintang serta hotel lima bintang,” katanya.

Ujar beliau, berdasarkan perangkaan daripada Persatuan Kongres dan Konvensyen Antarabangsa (ICCA), Kuala Lumpur berada dalam kedudukan kelapan di Asia Pasifik dan ke-28 di peringkat global sebagai bandar pusat konvensyen.

“Tahun lalu, industri pameran dan konvensyen telah menarik kehadiran 111,298 orang delegasi ke 153 acara dan menjana pendapatan RM1.035 bilion. Pada tahun 2020, pelancongan perniagaan dijangka akan menyumbang RM3.9 bilion kepada pendapatan kasar negara (GNI) dan mencipta 16,700 pekerjaan,” katanya.