Konvensyen dua hari itu dengan tema ‘Bandar Kita Milik Kita’ dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperkukuh peranan PBT selaras dengan hala tuju kerajaan baharu.

Menurut kenyataan KPKT, penganjuran konvensyen itu juga untuk memberi peluang kepada Ahli Majlis bertukar pandangan dan menyumbang idea ke arah menjadikan perkhidmatan PBT lebih dinamik.

Jelas kenyataan itu, konvensyen berkenaan juga berkongsi amalan terbaik mengenai Pilihanraya Kerajaan Tempatan dan Towering Personality For Local Government Councillors yang disampaikan oleh penceramah antarabangsa dari Commonwealth Local Government Forum (CLGF).

“Konvensyen ini merupakan platform yang julung kali mengumpulkan seramai 3,000 Datuk Bandar, Yang Dipertua, Setiausaha PBT dan Ahli Majlis seluruh Malaysia dalam satu wacana secara kolektif,” jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, seramai 18 tokoh dari luar negara dan tempatan akan mengupas isu-isu semasa melalui sesi perbincangan panel.

Kesemua topik yang dibincangkan menjurus kepada isu-isu, cabaran semasa dan cadangan strategi dalam melaksanakan agenda PBT seperti Sustainable Development Goal dan New Urban Agenda.

Empat sesi perbincangan panel iaitu hala tuju baharu PBT di Malaysia, peranan pemegang taruh dalam pembangunan bandar, pengurusan mapan kerajaan tempatan dan ‘Bandar Kita Milik Kita.’

“Penganjuran konvensyen ini dijangka dapat memberikan nilai tambah bagi memenuhi aspirasi ke arah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan di PBT pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu - UTUSAN ONLINE