Pelancaran myFreeview menandakan bermulanya era siaran terestrial digital mengantikan siaran terestrial analog.

Serentak itu, Najib turut mengumunkan penambahan pemberian percuma dekoder myFreeview dari 2 juta kepada 4.2 juta. Decoder berkenaan berharga RM199 seunit.

"Kerajaan juga telah bersetuju untuk menyediakan sebanyak 2.2 juta set dekoder percuma lagi sebagai tambahan kepada 2 juta set dekoder percuma yang diperuntukkan oleh pihak MYTV, menjadikan keseluruhannya 4.2 juta dekoder percuma untuk isi rumah dalam senarai BR1M.

"Pemberian dekoder percuma ini membolehkan mereka menikmati siaran digital myFreeview yang percuma tanpa yuran bulanan, dan ini adalah satu lagi usaha kerajaan dalam mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat," kata Najib.

Pemberian dekoder percuma akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga suku ke-2 2018.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Seri Dr. Halim Shafie.


Video oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

Melalui myFreeview, penonton bakal menikmati siaran dengan resolusi gambar lebih baik dan jelas, kualiti bunyi lebih hebat, lebih banyak saluran percuma dan pengisian berkualiti.

Selain itu, myFreeview menyediakan Panduan Program Elektronik (EPG), pelbagai pilihan untuk alih bahasa dan banyak lagi ciri-ciri menarik.

Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional merupakan agenda nasional dan adalah salah satu inisiatif penting dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Projek tersebut bagi merealisasikan pelaksanaan penutupan siaran analog (analog switch off – ASO) secara berperingkat antara 2015 hingga 2020 seiring dengan ketetapan negara-negara ASEAN lain.

Mengikut perancangan, kerajaan akan menutup siaran televisyen analog pada Jun 2018.

Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional dipantau oleh SKMM dibawah naungan KKMM dan dilaksanakan oleh dilaksanakan MYTV Broadcasting Sdn. Bhd.

Projek tersebut mensasarkan peningkatkan liputan siaran ke 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2018.

Antara saluran-saluran yang ditawarkan melalui DTT merangkumi TV1, TV2, TV3, TV Alhijrah, ntv7, 8TV, TV9 dan Bernama News Channel (BNC).

Berbanding negara-negara maju serta rakan dalam ASEAN, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya. - UTUSAN ONLINE