Platform yang diiktiraf oleh Lembaga Penyeliaan Syariah Amanie dan Miyar Ekonomi Digital Islam, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu memperkenalkan pelbagai rangkaian perkhidmatan internet kepada pengguna. 


Antaranya seperti SalamWeb Browser, Salam News, Salam Chat dan Salam Sadaqah yang dilengkapi persekitaran dalam talian yang bebas dan selamat. 


Pengarah Urusan syarikat itu, Hasni Zarina Mohamed Khan berkata, SalamWeb bertujuan memperkasakan umat Islam dalam membantu mereka menjalani kehidupan digital yang selaras dengan nilai dan kepercayaan yang bersesuaian dengan cara hidup. 


“Misi kami adalah memberi kuasa kepada pengguna bagi membina satu ummah digital yang berpandukan syariah serta membantu dalam pencarian kandungan yang selamat. 


“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan global bagi memastikan produk kami selari dengan nilai Islam dan bernaung dalam gaya hidup Islam yang moden, “ katanya semasa majlis pelancaran tersebut di sini hari ini. 


Yang turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Amanie, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar; Naib Presiden MDEC, Norhizam Abdul Kadir dan Individu berpengaruh media sosial, Caprice. 


Menurut Hasni, SalamWeb juga mempunyai aplikasi digital yang boleh dimuat naik di Google Play bagi pengguna Android dan di App Store bagi pengguna Apple. -UTUSAN ONLINE