Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran berkata, dengan adanya majlis keramaian seperti ini, anak-anak kurang bernasib baik dapat merasai kemeriahan Aidilfitri.

“Majlis meraikan para pelajar ini adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial Pharmaniaga di mana ia mencerminkan amanah dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik terutamanya kanak-kanak dan remaja.

“Dengan meraikan anak-anak ini, ia menunjukkan bahawa mereka bukanlah insan yang terpinggir sebaliknya merupakan generasi yang mampu mengubah kehidupan mereka untuk menjadi lebih baik,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, pengetua SBJK, Zulkernai Fauzi berkata, sekolah ini merupakan sebuah sekolah khas atas inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memberi dan menyediakan akses pendidikan formal kepada anak-anak gelandangan, yatim piatu, miskin tegar dan mangsa gejala sosial sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Sekolah ini mempunyai 16 orang guru dan hampir 155 orang pelajar berusia dari 4 sehingga 19 tahun.

“Memandangkan mereka ini tidak mendapat pendidikan yang formal sehingga ramai yang tidak dapat membaca dan menulis, Kementerian Pendidikan telah menghasilkan satu modul khas pembelajaran kepada mereka,” katanya ketika ditemui.

Majlis diceriakan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan khas, Datuk Aznil Nawawi dan ahli-ahli Alumni Princess Road School. -UTUSAN ONLINE