Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sebagai petugas haji mereka hendaklah melakukan kerja dengan cemerlang dan memberikan perkhidmatan kepada jemaah sepanjang masa.

“Pada siri kedua penerbangan petugas haji hari ini Tabung Haji menghantar seramai 141 petugas yang terdiri daripada 63 kakitangan perubatan, 62 kebajikan serta 16 orang dari wakil media tempatan.

“Kesemua petugas ini akan berlepas secara berperingkat menerusi beberapa penerbangan awal yang mana hari ini penerbangan kedua, pertama pada 2 Julai lalu manakala penerbangan ketiga pada 11 Julai ini,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Pelepasan Petugas Haji Penerbangan Awal Kumpulan Kedua di Kompleks Tabung Haji Sepang di sini, hari ini.

Syed Saleh berkata, pada musim haji tahun ini Tabung Haji akan menguruskan seramai 30,200 jemaah haji Malaysia.

“Tabung haji akan memastikan kesemua bangunan penginapan jemaah haji di Mekah dan Madinah serta prasarana sepanjang operasi berada dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, wakil Utusan Malaysia, Pengarang Berita, Nor Aziah Jaafar turut berlepas pada hari ini bagi membuat liputan di tanah suci sempena musim haji tahun ini. - UTUSAN ONLINE