Malah sebilangan besar daripada mereka juga turut mengalami kerugian yang lebih besar akibat kerosakan baeangan eletronik dan perabot disebabkan air naik secara mendadak bermula awal pagi.

Wakil petani kampung itu, Wan Razali Wan Ismail, 62, berkata, petani baru sahaja menabur benih padi sejak tiga hari lepas di kawasan sawah seluas lebih 820 hektar namun musnah begitu sahaja.

Menurutnya, ini mungkin berpunca kegagalan pintu kawalan keluar masuk air (tidal gate) tidak dikendalikan dengan baik atau tidak berfungsi ketika hujan lebat yang berterusan.

"Air yang menyebabkan kawasan bendang tenggelam dengan pergerakan arus air pastinya akan menghayutkan benih yang baru ditabur.

"Petani terpaksa menanggung kos benih tanpa pulangan untung bernilai lebih RM30,000 tidak termasuk kos membajak," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perhimpunan menuntut bantuan ganti rugi di bendang Tembila, dekat sini hari ini.

Sementara itu, seorang wakil penduduk, Gani Hussin, 61, berkata, bantuan bencana alam perlu disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kerana banyak peralatan pertanian yang rosak.

Malah, katanya, penduduk yang tidak menyangka banjir kilat berlaku mengalami kerosakan pelbagai barangan elektrik.

"Kami terpaksa melaporkan kes banjir ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selepas mendapati air banjir  semakin meningkat sehingga 0.5 meter supaya pintu Tidal Gate dibuka. Ketika kejadian, penduduk mendapati tiada petugas di bangunan Tidal Gate berdekatan, "katanya.

Sementara itu, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian (IADA) Kemasin-Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah ketika dihubungi berkata, banjir kilat di kawasan itu berlaku apabila paras air daratan dan paras air sungai bertembung.

Menurutnya, paras air laut meningkat melebihi 1.6 meter sejak tengah malam bersama taburan hujan yang lebat melebihi empat jam menyebabkan kampung sekitar Sungai Rasau ditenggelami air.

"Pada pukul 11 pagi baru pintu kawalan air boleh dibuka. Sekiranya pintu Tidal Gate dibuka pada tempoh air pasang besar, kemungkinan besar daerah ini mengalami banjir," katanya. - UTUSAN ONLINE