Sambil menganggap perkataan yang digunakan itu sebagai tidak bertamadun, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai adab dan bicara Penasihat DAP tersebut.

“Adakah itu budaya Malaysia. Kita terbuka untuk menerima kritikan tetapi jangan melampau dan biadab. Kita ada adab. Kita masyarakat Malaysia yang ber­adab. Perkataan itu adalah satu perkataan yang tidak bertamadun. Diharap rakyat menilailah. itukah pemimpin,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program perasmian Mural Pencegahan Rasuah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Bangunan SPRM Perak sempena Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar '17) di sini hari ini.

Dzulkifli mengulas kenyataan Kit Siang yang membidasnya berhubung isu 1Malaysia Develop­ment Berhad (IMDB) dengan menyatakan semua mata turut memerhati suruhanjaya itu dan sama ada Dzulkifli dapat me­mimpin badan antirasuah yang bersih.

“Dzulkifli harus menyedari bahawa jika beliau bertindak seperti monyet yang mempunyai mata tetapi tidak melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar dan mulut tetapi tidak berbicara me­ngenai skandal 1MDB, beliau akan menjadikan SPRM sebagai agensi antirasuah kleptokratik pertama di dunia,” kata Kit Siang.

Pemimpin-pemimpin pembangkang mula melemparkan kritikan ke atas SPRM berhubung cadangan agensi itu supaya parti-parti politik menghantar senarai calon mereka untuk disaring bagi memastikan individu berkenaan bebas rasuah dan salah guna kuasa. Mereka menolak cadangan SPRM itu dan menganggap agensi tersebut tidak berhak berbuat demikian.

Semalam, Dzulkifli berkata, parti politik yang berdolak-dalik untuk demikian menyebabkan mereka akan ‘diadili’ oleh rak­yat tentang tahap kesungguhan membasmi penyelewengan.

Kata beliau, parti-parti politik yang mahu membanteras rasuah perlu menunjukkan komitmen, bukan sekadar cakap berdegar-degar sahaja, namun enggan memberi kerjasama.