Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, penjelasan di peringkat awal mengenai pelaksa­naan GST di negara ini yang tidak komprehensif didapati menjadi punca kepada kekeliruan dalam kalangan rakyat tentang sistem cukai itu.

“Apabila masyarakat keliru mengenai GST, ia mudah dimanipulasikan. Ini adalah kerana kita melaksanakan GST sebelum dapat menjelaskan secukupnya kepada rakyat.

“Sewajarnya kefahaman mengenai GST didedahkan di peringkat awal termasuk di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan. Sepatutnya apabila rakyat bersedia baharulah kita melaksanakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program Forum Nasional MPM-Kumpulan Utusan 2018 Siri Pertama yang bertajuk Keseimbangan Kos Sara Hidup Rakyat Dengan Pertumbuhan Eko­nomi Negara di Wisma MPM (Bina Daulah), di sini hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan perlu mengambil langkah untuk memastikan rakyat secara keseluruhan menerima baik mengenai GST dan memahami­nya dengan tepat dan betul.

“Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kita akan lihat ada pihak yang cuba mengambil kesempatan memanipulasikan isu-isu rakyat termasuklah mengenai GST. Kita tidak mahu rakyat dikelirukan, oleh itu penting supaya masyarakat sentiasa diberi kefahaman dan penjelasan sekali gus tidak terperangkap dengan manipulasi,” katanya.

Sementara itu, jelas Hasan, Forum Nasional MPM-Kumpulan Utusan yang telah dijalankan sejak 2016 akan diteruskan pada tahun ini dengan lima siri awal dianjurkan sepanjang bulan April dan Mei ini.

“Bagi tahun ini, perbincangan forum akan memberi fokus kepada isu kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Bagi lima siri awal serta lebih-lebih lagi menjelang PRU-14, MPM sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai peranan untuk memberikan pandangan mengenai isu-isu berkepentingan rakyat.

“Tujuannya juga adalah supaya rakyat tidak keliru dengan isu-isu yang akan dimanipulasi pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik. Kami tidak kisah mereka mahu berpolitik tetapi haruslah tidak cuba mengelirukan sesuatu isu yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat,” kata beliau.

Menurutnya, MPM telah memilih lima tajuk untuk lima siri awal forum ini antaranya Menggalakkan Budaya Keusahawanan Kompetitif serta Impak Dan Tanggungjawab Institusi Pendidikan dalam Membina Budaya Dan Tamadun Bangsa.

“Topik dan tajuk yang dipilih ini amat penting untuk diperbincangkan dan diyakini dapat menarik kehadiran dan penglibatan ramai pihak dalam forum itu nanti,” katanya.