Jika tahun-tahun sebelum ini persiapan dilakukan seminggu sebelum hari wukuf, namun untuk tahun ini semuanya berjalan lancar walaupun masyair haji bermula dua minggu lagi dengan hari wukuf dijangka pada 20 Ogos ini.

Di Arafah, proses memasang khemah, penyediaan tandas, bekalan elektrik dan yang lain sudah di peringkat akhir.

Pendingin hawa yang disediakan Muassasah Asia Tenggara juga sudah dipasang, hanya menunggu proses pendawaian yang dijangka siap minggu depan.

Di Mina, jemaah Malaysia menikmati lebih keselesaan tahun ini apabila Muassasah Asia Tenggara bersetuju memasang lantai jubin dalam khemah.

Kemudahan itu hanya untuk khemah Malaysia, satu penghormatan kepada jemaah Malaysia yang terkenal kerana berdisiplin.

Jika sebelum ini jemaah tidur berlantaikan tanah yang dilapik permaidani, kali ini khemah lebih bersih, tidak berhabuk dan berpasir.

Proses membersihkan khemah-khemah yang hanya digunakan setahun sekali, juga sudah dilakukan dengan pancutan air dan kini sudah sedia menunggu kemasukan jemaah.

Pendingin hawa yang tidak berfungsi juga dikenal pasti untuk dibaik pulih sebelum tempoh masyair tiba.

Di Muzdalifah, proses pembersihan tapak sedang dilakukan dan tahun ini Malaysia diberi tapak sama iaitu paling hadapan dan berhampiran sempadan Mina.

Tapak berkenaan cukup baik untuk lalu lintas dan dengan itu pergerakan bas ke Mina boleh dilakukan dengan cepat, kerap dan mudah.

Di Muzdalifah, Tabung Haji juga menyediakan pentas bagi setiap maktab agar penyampaian maklumat terutama pergerakan bas lebih tersusun dan jelas.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman ketika meninjau ketiga-tiga kawasan itu berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan pihak muassasah bersama Tabung Haji.

Katanya, di Arafah dan Mina, Tabung Haji akan mempersiapkan khemah-khemah mengikut peruntukan yang ditetapkan untuk setiap jemaah.

Katanya, nombor khemah dan petak untuk jemaah ditetapkan mengikut maktab masing-masing dengan setiap petak dinomborkan seperti bilik masing-masing.

“Di Mina sempadannya terhad dan sudah ditentukan. Walau seramai mana sekali pun jemaah terpaksa dimuatkan dalam kawasan yang sama.

“Kita ada hampir 1,800 petak dan setiap petak menempatkan 18 jemaah. Setiap jemaah diberikan ruang 0.85 meter persegi. Untuk tidur terlentang mungkin tidak cukup ditambah dengan beg yang dibawa, kena tidur mengerenglah,” katanya.

Menurutnya, dalam kursus-kursus haji jemaah sudah diberitahu hal itu, malah Tabung Haji menyediakan khemah yang sama seperti di Arafah dan Mina untuk jemaah merasai sendiri situasi yang akan mereka hadapi nanti.

Bagi kemudahan tandas pula, jelasnya, tandas setingkat sedia ada masih digunakan di Arafah dan Mina, namun di beberapa lokasi sudah dibina tandas dua tingkat.

Katanya, sepanjang laluan ke jamrah juga ada tandas disediakan untuk kegunaan jemaah.

Menurut beliau, proses persiapan ini dipantau setiap hari oleh dua kumpulan petugas Tabung Haji.

Mereka ialah kumpulan jawatankuasa induk yang setiap hari berada di Arafah dan Mina selain pihak maktab yang membuat pemantauan khemah-khemah.

“Mereka akan memberi pandangan dan cadangan kepada pihak muassasah tentang perkara-perkara yang boleh diperbaiki semasa masyair nanti,” katanya.-UTUSAN ONLINE