Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, usaha itu bertujuan merancakkan perkembangan ekonomi digital sekali gus memacu pembangunan kemudahan berasaskan dalam talian.

Katanya, kerajaan negeri bersedia untuk menyesuaikan polisi, peraturan dan undang-undang bagi menerima kaedah dan cara sesuatu perniagaan tersebut dapat dilakukan dengan lebih mudah dan cekap.

“Aktiviti ekonomi pada ketika ini dipacu oleh kemudahan internet dan ini bermakna, lebih banyak lagi aplikasi ataupun platform e-dagang yang cekap dan berkesan diperlukan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi digital khususnya di Sabah.

“Saya berharap agar masyarakat khususnya anak-anak muda dan belia yang ketika ini banyak terlibat dengan dunia digital dapat merebut peluang dan memanfaatkan sepenunhnya kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya ketika berucap dalam program Memperkukuhkan Ekonomi Digital Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Hashim Paijan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan DFTZ sebagai antara langkah pertama Malaysia meletakkan jejaknya dalam ekonomi digital sekali gus menjadi jawapan kepada aspirasi pertumbuhan dua angka Malaysia.

Pada November 2016, Najib mengumumkan Malaysia akan merangka satu pakej menarik untuk DFTZ bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai pihak dalam sektor e-dagang negara serta akan dilancarkan pada bulan ini.

Dalam pada itu, Musa berkata, pihaknya menyambut baik usaha kementerian itu untuk membangunkan DFTZ khususnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Ujarnya, langkah tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengembangkan perniagaan dan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sabah dalam ekonomi digital. - UTUSAN ONLINE

Video oleh FAUZI SUHAIMI