Ketika ada dalam kalangan masyarakat yang mengeluh apabila harga hasil laut naik, mereka sebenarnya terlupa bahawa harga tersebut jauh lebih rendah berbanding perjuangan ‘pahlawan’ lautan atau nelayan meredah badai demi mencari sesuap nasi.

Justeru itu, sebagai tanda terima kasih dan penghargaan di atas jasa dan sumbangan nelayan, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganjurkan Gerakan Nelayan Nasional (GNN) 2017 yang bermula hari ini hingga 14 Oktober di Pantai Kerteh di sini.

Dengan lebih 70 aktiviti menarik di sediakan sepanjang tiga penganjuran, program yang julung kalinya diadakan ini bakal mengumpulkan ribuan nelayan termasuk keluarga dari seluruh negara.

Menariknya, pada hari perasmiannya Sabtu ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 700 bot nelayan bakal berarak serentak dari pantai Kuala Kertah menuju ke Sungai Kerteh.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, golongan nelayan sebelum ini sering menyatakan bahawa tiada sebarang program khas yang mengumpulkan sebegitu ramai nelayan dari seluruh negara.

Katanya, susulan itu, kementeriannya merangka GNN bagi memberikan keseronokkan kepada nelayan selain daripada sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan mereka.

“GNN 2017 memperlihatkan satu daripada kaedah bagaimana program diatur bukan sebagai satu perhimpunan mendengar ceramah kerana kita cuba balikan daripada kebiasaan.

“Biasanya pemimpin beri ucapan panjang tetapi di sini kita buat konsep santai, ada pokok rhu, sungai kita dan sama-sama saksikan pergerakan nelayan. Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid Sabtu ini bakal menyaksikan beratus bot nelayan berarak dan masing-masing membawa ekspresi mereka, ini adalah sesuatu menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual dalam rakaman rancangan Sembang Online di tapak GNN 2017 hari ini. - UTUSAN ONLINE