Video oleh FARIZ RUSADIO

Ini apabila mereka sanggup mengenepikan segala bentuk persengketaan seterusnya bersatu hati dan bangkit bersama untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Malah bagi penyokong kedua-dua parti itu, mereka sama sekali tidak pernah bermimpi akan berada di dalam satu bas yang sama dan berkonvoi beramai-ramai ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan membantah ICERD #DaulatHimpunan812 di Kuala Lumpur.

Rombongan lebih 500 orang membabitkan sembilan buah bas yang berkumpul di Kompleks Pas negeri itu berlepas ke ibu negara kira-kira pukul 11.45 malam tadi.

Perlepasan konvoi tersebut disempurnakan secara bersama oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Russeli Izan.

Pada masa sama, ribuan lagi peserta dari kedua-dua parti turut bertolak pada malam tadi dengan menaiki kenderaan sendiri.

Penyokong UMNO, Latifah Hamzah, 53, berkata, buat pertama kali dalam sejarah, dia bersama ahli-ahli Pas menyertai perhimpunan sama.

“Selama ini, kami (ahli UMNO dan Pas) meskipun sekampung namun tidak bertegur sapa. Saya lihat isu ICERD ini memberi hikmah yang besar apabila kami dapat bersatu hati dalam menegakkan Islam yang sejak akhir-akhir ini cuba diusik pihak tertentu,” katanya.

Seorang lagi penyokong UMNO, Fatimah Su, 62, berkata, kedua-dua parti itu sepatutnya bersatu sejak dahulu lagi.

“Namun masing-masing membawa ego sehingga kita sering bertelagah. Akhirnya kerana agama, kami bersatu,” katanya.

Seorang lagi peserta, Siti Maisarah Shuhaimi, 22, berkata, dia bersama mahasiswa yang lain dari negeri ini akan membawa suara keramat anak muda membantah ICERD.

“Jika sebelum ini, Melayu dan Islam berpisah disebabkan fahaman politik, kali ini kami bersatu tidak kira parti,” katanya.

Dalam pada itu, Azizan dan Russeli berharap pada peserta yang menyertai rombongan tersebut agar selamat pergi dan pulang.

“Kami berdoa agar perjalanan rombongan UMNO dan Pas ini mendapat rahmat Allah. Meskipun ada perbezaan pendapat selama ini, namun hari ini kita bersatu kerana Allah,” katanya. - UTUSAN ONLINE