Larian kebajikan sejauh lima kilometer bertemakan Let's Light Up our Children's Future (Mari Menyinari Masa Depan Anak-anak Kita) telah diiktiraf oleh Brand Laureate sebagai larian terbesar disertai belia di Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penyertaan golongan belia pelbagai latar belakang kaum dan agama pada program tersebut adalah manifestasi penyatuan serta kebersamaan rakyat Malaysia yang merupakan satu petanda baik kepada asas pembinaan sesebuah negara.

Beliau yang juga Penaung IOJ berkata, aspirasi tersebut selaras dengan misi Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar suatu ketika dahulu yang mahu anak-anak muda meletakkan kepentingan negara dan bangsa melebihi diri sendiri dalam mengisi kemerdekaan.

"Oleh itu, mari kita pastikan momentum ini berterusan bagi meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara lain. Mari kita buktikan dalam kepelbagaian kita ini ada kekuatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan serta menyertai MUR2017.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir. Idris Haron dan Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan.

Dalam pada itu, Hishammuddin menjelaskan, selain penganjuran program larian, IOJ bergerak aktif dalam membantu anggota masyarakat yang memerlukan menerusi pelbagai inisiatif termasuk Jom Bekpes, Jom Raya dan Jom Sahur bagi membantu golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, inisiatif-inisiatif IOJ itu membuktikan pertubuhan berkenaan terus komited dan serius dalam merealisasikan misinya meskipun baru menginjak usia tiga tahun penubuhan.

Dalam masa sama menurutnya, IOJ bakal menyumbang sebanyak RM250,000 dengan menggunakan kesemua dana amal terkumpul untuk membantu 50 kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia menerusi MUR2017.

"IOJ perlu sentiasa berada di landasan hasrat yang betul kerana menggunakan nama datuk saya, jadi saya akan memastikan IOJ dapat melonjakkan namanya.

"Setakat ini, IOJ telah terbukti berjaya melaksanakan peranannya. Saya yakin sekiranya beliau masih hidup, pasti Allahyarham akan berbangga dengannya," katanya.