Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, penyertaan yang diterima semakih bertambah setiap bulan sehingga sukar untuk memilih pemenang biarpun sudah menyenaraikan 24 video pendek terbaik bagi bulan April dan Mei.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak empat video pendek akan dinobatkan sebagai pemenang manakala 10 lagi sebagai hadiah saguhati bagi bulan April dan Mei, dengan senarai pemenang akan diumumkan pada hujung bulan ini.

“Kita turut turun padang dalam sesi penataran Video Pendek #muhibah pertandingan ini di sekolah sekitar Kuala Lumpur dalam merancakkan lagi penyertaan para pelajar dalam program ini.

“Para peserta telah menunjukkan betapa berbakatnya mereka dari segi idea dan teknik yang ditampilkan melalui sebuah video pendek sehingga menyukarkan juri memilih pemenang yang betul-betul mencapai kriteria yang diinginkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi penjurian bersama-sama juri profesional, Mohd. Azemi Mohd.; juri pemerhati Jenny Ong dan enam juri dalaman dari Utusan Malaysia.

Pertandingan yang ditaja oleh syarikat Orando Holdings Sdn. Bhd. berlangsung selama setahun bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2018.

Setiap bulan, peserta yang dipilih sebagai pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Penyertaan terbuka kepada pelajar sekolah menengah sahaja dan mereka hanya perlu menghantar video pendek dengan penerangan tidak lebih 150 patah perkataan dalam bahasa Melayu dengan memuat naik video menerusi alamat pautan www.muhibah.my.- UTUSAN ONLINE