Ekoran itu, orang ramai bukan sahaja meluahkan rasa marah tersebut melalui media sosial seperti Facebook, malah mereka menyuarakan secara terbuka kepada pemberita.

Paling menerima kesan adalah peniaga dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa pengusaha cuci kereta di Seksyen 20 di sini misalnya, terpaksa menghentikan operasi kerana tiada bekalan air sejak semalam menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit.

Di Seksyen 19 pula, penduduk merungut kerana terpaksa pergi kerja dengan tidak mandi setelah kawasan tersebut terputus bekalan air sejak tiga hari lalu.

“Tiga hari tiada air, tiga hari dah saya tak mandi,” kata penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Pian kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Gangguan bekalan air kali kedua untuk tahun ini itu memberi kesan kepada lebih dua juta pengguna membabitkan 498 kawasan dan hanya akan pulih pada Ahad ini.

Dalam pada itu, di Seksyen 9 meskipun bekalan air masih ada, para peniaga restoran terpaksa membeli tong untuk menyimpan air bagi mengelakkan bekalan terputus.

Salah seorang pengusaha restoran dikenali sebagai Rahman memberitahu, dia perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan mencecah ratusan ringgit untuk membeli tong dan tangki air itu demi memastikan operasi kedai tidak terjejas.

“Sebagai peniaga, air adalah asas kepada perniagaan kami. Air perlu untuk memasak, membersihkan bahan memasak dan membasuh pinggan dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku berulang kali,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib dalam satu kenyataan memberitahu, kerja-kerja pembaikan Paip Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) akan siap mengikut jadual.

“Kerja-kerja itu di dalam peringkat terakhir proses pemeriksaan dan loji terbabit akan diuji sebelum beroperasi secara berperingkat-peringkat.

“Pemulihan bekalan juga akan berjalan mengikut jadual bermula Sabtu ini,” jelasnya.