Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian Penguat Kuasa dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri, Hanafee Harun; Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan; timbalannya, Zainal Ayop dan Pengarah LFS Malaysia, Garuna Murthee.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas itu, Azam berkata, video pendek yang berdurasi 42 saat itu akan mula ditayangkan esok di kesemua 54 skrin milik LFS Cinema yang terdapat di 14 lokasi di seluruh negara.

Beliau turut teruja dengan kerjasama seumpama itu dan percaya ia mampu memberi impak positif dalam menyampaikan mesej anti rasuah kepada masyarakat terutama yang berkunjung ke pawagam LFS.

"Saya nak ucap terima kasih kepada rakan strategik SPRM iaitu LFS yang mempunyai banyak panggung wayang di negara ini. Jumlah penonton yang biasanya datang menonton di pawagam ini setiap tahun mencecah 2.6 juta orang.

"Ini merupakan mesej anti rasuah yang lebih berkesan dengan menggunakan panggung LFS, di samping menonton mereka juga (penonton) akan lihat mesej anti rasuah," katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, buat masa ini, pihaknya masih belum menetapkan berapa lama tempoh tayangan tersebut namun mesej yang dipaparkan akan sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, pihaknya juga mencadangkan agar tayangan seumpama itu akan diperluaskan ke pawagam lain di negara ini. - UTUSAN ONLINE