Penataran video tersebut meliputi teknik rakaman, teknik suntingan serta kaedah penyediaan papan cerita yang jelas bagi menghasilkan video pendek yang menarik.

Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, penataran ini merupakan usaha dan inisiatif pihak Utusan Malaysia bagi mempromosi serta mempertingkatkan jumlah penyertaan dalam pertandingan video pendek #muhibah dalam kalangan pelajar di peringkat menengah yang telah bermula awal tahun ini.

“Inisiatif ini dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam pembikinan video secara kreatif serta menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan mereka.

“Ia juga bukan hanya penyertaan sia-sia kerana setiap pelajar yang terlibat akan diberi sijil pencapaian, sijil penghargaan dan sijil penyertaan mengikut keputusan yang diperoleh mereka.”

Tambah beliau, sijil tersebut amat berguna sebagai markah tambahan kokurikulum pelajar untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan industri penyiaran media kelak.

Lebih menarik, penataran video ini dikendalikan sendiri oleh beberapa tanaga pengajar dari pihak Utusan Malaysia iaitu Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Mohamad Fikri Rosly, Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Sepanjang penataran video ini pelajar akan dibimbing sehingga berjaya menghasilkan sebuah video pendek berdurasi dua minit serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Jelajah penataran video ini akan diteruskan lagi ke seluruh sekolah di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. - UTUSAN ONLINE