Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sama sekali tidak boleh menerima keputusan itu, malah Pemuda bersama rakan-rakan perjuangan lain akan terus bangkit menentang penindasan tersebut.

Ujar beliau, pihaknya tidak ke­seorangan kerana Pemuda Pas, Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Parti Hamas Palestin turut mendukung pendirian yang sama.

“Kebangkitan rakyat pada hari ini merupakan episod permulaan, sekiranya Trump masih meneruskan perancangan kotor itu, mereka akan melihat kebangkitan rakyat di seluruh dunia...Takbir! Takbir! Takbir!.

“Hormatilah undang-undang Antarabangsa dan hentikan se­gera penindasan kepada Palestin yang terkenal dengan jolokan ibu kota Islam itu,” katanya ketika berucap selepas menyerahkan memorandum bantahan mewa­kili Pemuda UMNO di Kedutaan AS di sini hari ini.

Lebih 2,000 orang hadir di hadapan kedutaan tersebut termasuklah parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat berbilang kaum dan agama bagi menyatakan bantahan serta mengecam keputusan yang dibuat oleh Trump sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan saluran diplomatik beliau de­ngan AS untuk mendesak pengisytiharan ibu negara baharu Israel ditarik balik de­ngan kadar segera.

“Kita bimbang dunia akan berhadapan dengan keganasan. AS perlu bertanggungjawab sekiranya­ ber­laku dan Trump mes­ti dibawa ke muka pengadilan jika terdapat kematian.

“Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pela­rian (UNCHR) juga perlu menguatkuasakan hak asasi manusia untuk rakyat Palestin,” katanya.

Tambah Aminuddin, parti-parti bukan Islam seperti MCA, DAP dan sebagainya perlu menyatakan pendirian, malah beliau turut menzahirkan kesedihan apabila NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia masih membisu berhubung perkara ini.

Pada 6 Disember lalu, Pre­siden AS itu telah mengumumkan pengiktirafan Baitulmuqaddis se­bagai ibu negara Israel yang baharu menggantikan Tel Aviv.

Selain itu, pada hari sama, sebanyak lapan negara termasuk Bolivia, Mesir serta Perancis menentang keras pengumuman tersebut dan meminta supaya Majlis Keselamatan (PBB) me­ngadakan mesyuarat tergempar minggu ini.