Video oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TARMIZI

Ia adalah hasil usaha Motonation yang merupakan satu-satunya wakil Malaysia menjadi ahli gabungan AMD World Championship of Custom Bike Building.

Pemenang Motonation Custom Bike Building Competition affiliate with AMD (Pertandingan Motosikal Binaan Khas Motonation gabungan AMD) yang diadakan sempena karnival permotoran Motonation 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, akan mewakili negara ke kejohanan tersebut.

Seramai lapan pembina khas motosikal terkenal di negara ini bersaing di pusingan akhir pertandingan itu dan pemenang akan diumumkan pada hari terakhir karnival Motonation 2017, esok.

Pertandingan itu dikendalikan oleh Showmaster iaitu pengurusan pameran motosikal ‘custom’ dari United Kingdom (UK).

Pemilik Showmaster, Neil Blaber berkata, beliau berasa terkejut melihat standard tinggi motosikal binaan khas dalam pertandingan akhir itu.

"Ini adalah kali pertama saya kembali ke Malaysia selepas tujuh tahun. Ketika saya datang dahulu, pameran motosikal binaan khas dikuasai pembina khas dari Jepun dan Indonesia.

"Kali ini, saya berasa amat kagum melihat banyak motosikal binaan khas dari Malaysia mempunyai standard sangat tinggi, setanding dengan motosikal yang dihasilkan oleh pembina khas terkenal dunia," katanya ketika ditemui di Motonation 2017, di sini hari ini.

Menurut Blaber, kebanyakan motosikal yang bersaing dalam pertandingan akhir itu mampu mencatatkan keputusan baik dalam apa pelbagai kategori pertandingan motosikal binaan di peringkat antarabangsa.

"Saya fikir berdasarkan standard motosikal di sini, mereka boleh memberikan saingan sengit di Intermot AMD World Championship of Custom Bike Building di Jerman nanti.

"Kalau kamu lihat betapa banyak hasil kerja binaan khas yang dibuat menggunakan tangan, itulah yang dimahukan dalam kejohanan dunia," ujarnya.

Sementara itu, pemilik Eastern Bobber, Omar Jumiran yang merupakan antara peserta saingan akhir berkata, motosikal yang dibinanya untuk pertandingan itu adalah yang terbaik pernah dihasilkan sejak terlibat dalam karier sebagai pembina khas pada 2009.

"Semua orang ada cita-cita dan impian. Inilah impian saya. Sebagai pembina khas motosikal, saya ingin bertanding di AMD World Championship of Custom Bike Building. Kalau dalam bola sepak, kejohanan ini ibarat piala dunia," katanya. - UTUSAN ONLINE