Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemudahan itu antaranya penyediaan latihan dalam bidang separa mahir supaya golongan tersebut dapat mencari peluang pekerjaan.

“Dianggarkan mereka ini berjumlah 56,000 orang. Kita akan memperincikan pelaksanaan ter­sebut supaya mereka dapat peluang kerja dengan terus meme­gang kad UNHCR selain diberikan kad sementara Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Semuanya ini membolehkan status mereka dapat ditukar daripada liabiliti kepada menjadi aset iaitu tenaga kerja mengikut ke­perluan bidang-bidang tertentu yang dibenarkan perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Pa­lestin, Dr. Riad Malki semasa Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar di sini hari ini.


Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, perancangan tersebut sedang diperincikan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Rakyat Rohingya ini dipinggirkan di negara sendiri. Oleh yang demikian kita memberikan soko­ngan di pentas antarabangsa untuk memperlihatkan komitmen Malaysia di dalam isu tersebut.

“Dalam hal ini, kita lihat komitmen kerajaan diterjemahkan melalui lontaran pandangan,” jelasnya.

Menurut beliau, seperti di­umumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu bantuan sebanyak RM10 juta untuk penduduk Rohingya di Rakhine, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban ditanggung terutama apabila rumah mereka diranapkan dan hilang mata pencarian selain kemudahan-kemudahan asas dinafikan.

Ditanya mengenai kelancaran misi Food Flotilla for Myanmar, jelasnya, kerajaan sedang berunding dengan Myanmar agar misi berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik.