Ramlan Ibrahim

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim berkata, isu berkenaan seharusnya menjadi kebimbangan masyarakat dunia dan diselesaikan segera sebagai tanggungjawab serantau.

“Kami berpendapat konflik berkenaan tidak harus dilihat sebagai masalah dalaman Myanmar sebaliknya ditekankan sebagai isu antarabangsa.

“Malaysia juga berpandangan, jika tiada penyertaan aktif sepertimana dilakukan ketika ini, kita mungkin sukar untuk mendapatkan langkah penyelesaian mapan terhadap konflik tersebut,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) sempena Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Mengenai Situasi Etnik Minoriti Islam Rohingya di Myanmar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Jelasnya, selaras dengan objektif dan prinsip OIC, Malaysia juga berharap kerajaan Myanmar menghentikan diskriminasi dan mengambil langkah-langkah penyelesaian terbaik bagi memperbaiki situasi di negara tersebut.


Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

“Dalam konteks ini juga, diharap Myanmar terus bekerjasama dalam membenarkan bantuan kemanusiaan daripada OIC dan komuniti antarabangsa disalurkan kepada penduduk etnik Rohingya yang tertindas tanpa sebarang hala­ngan,” katanya.

Ramlan menambah, Malaysia sebagai anggota OIC dan ASEAN secara konsisten dan jelas me­nyuarakan pendiriannya berhubung perkara itu.