Perkara tersebut turut dikongsikan oleh pelajar-pelajar SMK Chocrane, Kuala Lumpur yang merupakan destinasi kedua jelajah Utusan Malaysia selepas Sekolah Menengah Sains Alam Shah pada 6 April lalu. Sebanyak 25 orang pelajar dipilih untuk menyertai program ini dan rata-rata mereka yang ditemui melahirkan rasa teruja dan bersemangat untuk menghasilkan video pendek #muhibah, setelah diberi penerangan lengkap dan khusus tentang cara-cara pembikinan.

Menurut Eksekutif Pengurusan Jenama Utusan Malaysia, Muhammad Izwan Ramlan, program penataran #muhibah yang dianjurkan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan percuma kepada pelajar tentang bagaimana untuk menghasilkan video pendek yang berkualiti dan bermesej.

Katanya lagi, pelajar pastinya berasa amat bertuah kerana pendedahan yang diberikan cukup bermanfaat untuk pelajar berkarya dan menyerlahkan kreativiti serta kemampuan mereka untuk menghasilkan video kreatif dan berkualiti.

“Di samping itu penataran #muhibah yang di adakan ini adalah percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran, jadi pelajar perlu mengambil kesempatan ini dengan sebaik mungkin kerana jika di luar kos pembelajaran seperti ini pastinya menelan belanja ratusan ringgit.

“Selain itu apa yang penting kepada pelajar adalah mesej yang ditonjolkan dalam video ini. Kita mahu mereka sentiasa semaikan semangat keharmonian kaum dan rasa bertuah serta cinta dengan kehidupan di negara kita yang dikelilingi oleh pelbagai lapisan budaya dan masyarakat,” ujarnya

Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Fikri Rosly turut berkongsi ilmu dengan pelajar terlibat tentang cara-cara pembikinan teknik rakaman, suntingan, penulisan serta papan cerita yang lebih tersusun agar mereka mampu menghasilkan video yang lebih dan menarik dan berkualiti.

“Setakat ini penyertaan yang diterima dari pelajar adalah menggalakkan, jadi kami akan meneruskan misi jelajah program penataran #muhibah ini ke sekolah-sekolah lain. Selain tips dan teknik, penekanan juga diberikan kepada kepentingan papan cerita dan tema muhibah itu sendiri,” katanya..

Penyertaan pertandingan video pendek #muhibah dibuka sejak Januari lalu hingga 31 Disember 2018 kepada semua pelajar berusia 17 tahun ke bawah (termasuk individu dan berkumpulan). Empat pemenang utama setiap bulan akan menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan langganan e-paper selama setahun sementara 10 pemenang saguhati pula akan menerima sijil penghargaan dan langganan e-paper selama setahun. - UTUSAN ONLINE