Program telah dimulakan dari pukul 11.20 pagi lagi apabila guru al-Quran pusat itu, Syukri Mohammad memimpin bacaan al Quran bermula dari surah An Naba’.

Kebanyakan pelajar yang terdiri daripada Orang Asli hanya dapat merenung ayat-ayat dalam naskah al-Quran masing-masing tanpa mampu membacanya sendiri terutama surah-surah yang panjang namun ia bukan halangan buat mereka memeriahkan program yang dilangsungkan serentak di 30 buah negara serata dunia.

Yang turut hadir, pengetua pusat tersebut, Suhaidah Suhaimi dan warga pendidik.

Sementara itu, Suhaidah berkata, walaupun ayat untuk World #Quranhour tahun ini adalah Al Hujurat namun pihaknya memilih surah An Naba’ sesuai dengan tahap pelajar di situ.

“Institusi ini menempatkan 62 pelajar keturunan Orang Asli daripada lapan etnik dan selebihnya adalah daripada bangsa lain seperti Dusun,Iban,Cina,Siam serta negara luar seperti Kemboja dan Myanmar,” katanya.

Sesiapa yang ingin menyumbang kepada pembangunan pendidikan di sini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun 5530 5641 3814 Maybank Islamic atas nama Madrasah Pengajian Islam atau menghubungi talian 09 7883878. - UTUSAN ONLINE