Video oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sedang menyiasat segala kemungkinan termasuk dakwaan yang mengatakan terdapat campur tangan kuasa luar dalam kes tersebut.

“Motif pembunuhan serta identiti pembunuh masih lagi dalam siasatan dan masih terlalu awal untuk kita buat kesimpulan.

“Dua pembunuh yang didakwa sebagai lelaki Eropah masih belum dapat dipastikan kerana itu adalah maklumat yang kita dapat daripada saksi kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, dakwaan yang mengatakan Fadi terlibat dengan Hamas dan mempu­nyai kepakaran dalam bidang roket juga belum dapat disahkan.

Ujarnya, kesemua dakwaan itu dibuat di laman sosial dan bukan hasil siasatan daripada pihaknya.

“Menerusi maklumat yang kita kumpul, dia sebenarnya lulusan kejuruteraan elektrik dan menjadi pensyarah untuk kursus berkenaan. Fadi juga aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan dan pernah beberapa kali memberi ceramah berkaitan pendidikan di beberapa universiti tempatan,” katanya.

Selain ceramah pendidikan, jelas Mohamad Fuzi, Fadi turut terlibat memberi ceramah berkaitan Palestin terutama di negara Eropah, Asia Barat dan Turki.

Tambah beliau, pihaknya meminta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan polis dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, Fadi ditemukan mati akibat ditembak 10 kali oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan kondominium tersebut.

Mangsa yang merupakan pensyarah sebuah universiti swasta di sini dipercayai ditembak di bahagian badan dan kepala ketika dalam perjalanan ke Surau Medan Idaman bagi menunaikan solat subuh.