Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, unsur kerjasama dan integrasi antara negara untuk menangani ancaman Daesh harus dilakukan dengan menggunakan empat pendekatan yang disebut sebagai S.E.A.L.

“S.E.A.L merangkumi penyu­sunan strategi bagi mengetahui punca kepada berlakunya masalah, penglibatan semua pi­hak dalam agenda keselamatan, menjangka trend pengganas melalui gabungan kecekapan dan kepimpinan semua peringkat untuk melaksanakan rancangan yang diatur.

“Kita perlukan strategi untuk membanteras radikalisasi bersama-sama. Kita perlu meng­hubungkan kesemua negara di ASEAN dengan mengecualikan politik untuk memastikan kewujudan pengganas di ASEAN yang kini semakin membimbangkan dapat dihentikan,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam Forum Putrajaya 2018 sempena DSA 2018 di sini hari ini.

Turut menjadi panel dalam forum tersebut ialah Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen; Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Polisi Pertahanan Filipina, Jeneral (B) Ricardo A. David Jr.

Sementara itu, Ryamizard berkata, Indonesia bersedia untuk mencari titik persamaan dan me­ngurangkan perbezaan antara negara ASEAN dalam memastikan kese­lamatan rantau ini sentiasa terjaga.

“Terdapat 569 juta orang dalam ASEAN dan kira-kira 2,644,710 anggota keselamatan yang sedang berkhidmat menjadikan kita mempunyai tenaga kerja yang sangat besar untuk mencegah sebarang ancaman yang datang.

“Sebab itulah kita perlu bekerjasama dalam pelbagai bentuk termasuk maritim, ruang udara dan darat dalam memastikan pengganas tidak menjadikan ASEAN sebagai salah satu tempat merekrut atau ‘kampung’ mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ricardo berkata, hubungan multilateral antara negara-negara ASEAN kini sudah semakin baik berbanding beberapa tahun lalu.

“Selain daripada segi taktikal, apa yang penting adalah perkongsian pengalaman dan ilmu untuk kita sama-sama dapat menyelesaikan masalah pengganas ini sehingga ke akar umbi dan dalam masa yang sama menyekat pengaruh-pengaruh pengganas ini untuk masuk ke negara masing-masing dan ASEAN sendiri,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Eng Hen berkata, selain mempertingkatkan hubungan multilateral, polisi-polisi berkaitan anti keganasan perlu dirangka dengan mengambil kira semua aspek yang berkemungkinan.

“Sebab itulah penting untuk kita bertukar-tukar pendapat dan berhubung antara satu sama lain supaya setiap negara ASEAN tidak ketinggalan dalam polisi melibatkan anti keganasan,” katanya.