Nuan Nuan yang berusia 26 bulan, meninggalkan Malaysia melalui pesawat MH6476 yang berlepas kira-kira 5.40 petang ke Lapangan Terbang Shuanglin, Chengdu.

Sebelum itu, Nuan Nuan, yang bergerak dari Zoo Negara, Kuala Lumpur, ditempatkan di Hotel Haiwan, MASkargo bagi melalui proses akhir untuk haiwan seberat 90kg itu melakukan persiapan sebelum berlepas ke Chengdu, China yang akan mengambil masa penerbangan lebih empat jam.

Penghantaran Nuan Nuan adalah sebagai memenuhi Perjanjian Program Kerjasama An­tarabangsa Konservasi Panda Gergasi, yang ditandatangani bersama China pada 15 Jun 2012, memperuntukkan anak yang dilahirkan pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang, dihantar ke negara asalnya apabila berusia dua tahun.

 

Video Oleh NUR AZREEN ARIFIN

Pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 bersempena hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia dan China.

Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr. Mat Naim Ramli ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan turut sama ke Pangkalan Panda Dujiangyan, Sichuan, China untuk meninjau keadaan Nuan Nuan sehingga Jumaat ini.

“Nuan Nuan merupakan anak panda yang baik dan tidak membawa banyak masalah kepada kami.

“Pastinya kami berasa sedih, tapi dalam masa yang sama kami berbangga kerana Nuan Nuan adalah simbol keupayaan Malaysia memelihara haiwan unik itu dan berharap pada masa akan datang, Malaysia berpeluang untuk menjaga haiwan terancam lain,” katanya.

Mat Naim berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan de­ngan pihak bertanggungjawab di negara itu esok bagi mengadakan perbincangan antaranya meminta nama Nuan Nuan tidak ditukar.

Mat Naim dalam pada itu yakin anak panda gergasi tersebut akan cepat menyesuaikan dirinya di China kerana spesies haiwan itu bersifat “menyendiri”.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kargo Sdn. Bhd., Ahmad Luqman Mohd. Azmi pula berkata, pihaknya bangga mendapat peluang untuk kali kedua menguruskan panda gergasi, bermula dengan ketibaan pasangan Xing Xing dan Liang Liang dan kemudian penghantaran anak mereka Nuan Nuan.

"Sebagai syarikat yang berpengalaman lebih 20 tahun, MASkargo dan Hotel Haiwan mengendalikan pengangkutan untuk haiwan peliharaan, ternakan dan eksotik, kami juga telah membuat persediaan rapi untuk menghantar pulang anak panda gergasi itu," katanya.

Kos penerbangan bernilai kira-kira AS$100,000 dianggap sebagai "khidmat negara" ditanggung sepenuhnya oleh MASkargo, ujarnya. – BERNAMA